Jul 16, 2021 - FASKedua-dua pasukan Gergasi Merah akan beraksi di venue yang baharu bagi menyambung semula saingan Liga M selepas Selangor menjadi salah satu negeri dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor sejak 1 Jun yang lalu.
Pasukan utama Selangor FC memilih Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang tuan rumah bagi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), UiTM FC dan PJ City FC manakala menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat untuk pusiangan kedua Liga Super 2021 yang akan bermula 24 Julai ini.
Sementara itu, Selangor FC 2 pula akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai arena tuan rumah pasukan untuk aksi-aksi seterusnya di pusingan kedua saingan Liga Premier 2021 bermula 17 Julai ini menentang Sarawak United FC (perlawanan tertangguh pusingan pertama kerana cuaca tidak mengizinkan).
Sebagai makluman, pertukaran venue perlawanan ini dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Sebarang pertukaran yang berlaku juga adalah seiring dengan garis panduan yang telah ditetapkan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MFL (Malaysia Football League).
Antara perkembangan lain, skuad utama Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada jurulatih penjaga gol terbaharu, Mike Andrea Kost yang telah menyertai barisan kejurulatihan lain yang sedang berkampung di sebuah hotel berdekatan FAS Training Centre.
Jurulatih yang berasal dari Jerman ini sudahpun memulakan latihan bersama semua penjaga gol Selangor FC sejak semalam bagi menggantikan tempat Carsten Nuelle yang telah mendapat tawaran lebih baik.
Perkembangan lanjut mengenai pasukan utama Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.
Demi kebanggaan!